Tuesday, January 29, 2008

Hasil eksperimen dalam jurnal

KOTA BHARU 26 Jan. – Hasil eksperimen yang dijalankan oleh angkasawan negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) akan diterbitkan dalam jurnal antarabangsa.

Sheikh Muszaphar berkata, pada masa ini perkembangan semua eksperimen itu amat memuaskan dengan sel-sel kajian berkembang dengan baik dan hasilnya akan diperoleh dalam tempoh dua bulan.

“Kita telah mengadakan perbincangan dengan pakar dan saintis seperti dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Mara, hasilnya akan dikongsi seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Amanat Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed Kepada Pelajar IPT di Kelantan dan Majlis Bersama Angkasawan Negara di sini hari ini.

Eksperimen yang dijalankan angkasawan negara melibatkan tiga komponen penting iaitu sel di angkasa, mikrob di angkasa dan penghabluran protein.

Menggunakan sepenuhnya kelebihan mikrograviti dan ruang radiasi di angkasa, penyelidikan juga akan memberikan satu bentuk keputusan yang sangat hampir kepada biologi sebenar sel, mikrob dan protein yang dikaji.

Sementara itu, majlis “Pengalaman Saya di Angkasa Lepas’ bersama Dr. Sheikh Muszaphar itu mendapat sambutan hangat apabila hampir 3,000 pelajar IPT memenuhi dewan sebuah hotel di sini bagi mendengar sendiri pengalaman beliau.

Sesi selama dua jam itu dibahagikan kepada dua segmen iaitu Sheikh Muszaphar berkongsi pengalamannya dan sesi soal jawab dengan lebih 30 wakil pelajar mengemukakan pelbagai soalan seperti hasil eksperimen sains dan pengalaman beribadat di angkasa lepas.

No comments: