Thursday, June 26, 2008

Suhu

Soalan


Bagaimanakah keadaan suhu dan udara ketika berada dalam Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa ISS. Saya juga ingin tahu waktu di sana?


Siti Nor Hasmah Ahmad Jani,

Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai, Kuala Lumpur.


Jawapan:


ISS sentiasa mengelilingi orbit pada ketinggian kira-kira 400 kilometer dari bumi. ISS didiami empat krew yang sentiasa menjalankan pelbagai aktiviti seperti eksperimen saintifik dan membina ISS yang dijangka siap pada 2009.


Suhu di ISS ditetapkan antara 22 hingga 26 darjah Celsius dan dikawal oleh pusat kawalan misi di Moscow dan Houston. Tekanan dan kandungan udara adalah sama seperti di bumi. Kandungan oksigen, karbon dioksida dan nitrogen dikawal dengan teliti oleh pakar bagi memastikan sesuai untuk krew.


Sistem amaran akan berbunyi jika ada perubahan dalam kandungan udara di ISS dan tindakan sewajar akan diambil untuk memastikan keselamatan krew di ISS.


Sementara itu, waktu di ISS adalah mengikut GMT (Masa Min Greenwich). Saya memakai tiga jam tangan di ISS bertujuan pertama, melihat waktu solat mengikut waktu Kazakhstan; kedua, waktu GMT untuk kerja seharian dan ketiga, waktu Malaysia sebagai panduan waktu negara tercinta.


Di ISS, siang dan malam berlaku setiap 45 minit. Oleh itu, jam tangan amat penting dalam meneruskan kehidupan harian di angkasa lepas.

Coretan Angkasawan: Pulang ke Russia setiap 3 bulan

Sheikh Muszaphar perlu selesaikan kajian saintifik, jadi eksperimen untuk lihat kesan tubuh manusia terdedah kepada radiasi dan mikro graviti

SAYA kembali semula ke Russia pada 19 Februari lalu. Bukan untuk meneruskan latihan, tetapi eksperimen saintifik yang masih belum selesai. Tubuh badan saya dijadikan bahan eksperimen oleh saintis Russia, Jepun dan Eropah untuk melihat kesan sampingan apabila tubuh manusia terdedah kepada radiasi dan mikro graviti di angkasa lepas.

Sejak awal lagi, saya bersetuju menjadikan diri sebagai bahan eksperimen demi kebaikan manusia sedunia. Setakat ini, saya tidak mengalami sebarang kesan sampingan. Tubuh saya sudah kembali normal.

Namun pemeriksaan terhadap tubuh ini akan diteruskan setiap tiga bulan selama setahun untuk memastikan segala-gala kembali normal. Bagaimanapun, kesempatan ke Russia membawa kembali pelbagai kenangan manis. Di negara inilah saya bertapa selama setahun untuk berlatih menjadi seorang angkasawan. Bahasa Russia masih segar di ingatan.

Saya tidak menghadapi masalah berkomunikasi dengan mereka. Seolah-olah seperti pulang ke kampung halaman. Saya tinggal di StarCity selama empat hari dan berkesempatan berjumpa kawan lama, cosmonaut termasuk tenaga pengajar Russia yang membimbing saya selama ini demi memastikan saya mencapai impian ke angkasa lepas. Mereka seperti keluarga sendiri.

Saya juga berjumpa krew yang kembali bersama, termasuk cosmonaut Korea Selatan yang akan ke angkasa lepas April ini. Ko San dan So-Yeon, dua rakan karib saya yang jelas menampakkan keghairahan menanti detik sebagai rakyat Korea Selatan pertama ke angkasa lepas.

Saya tersenyum kepada diri sendiri. Inilah perasaan yang saya alami sebelum ini. Saya menghabiskan masa selama empat jam bersama mereka menceritakan pengalaman dan menunjuk ajar mereka. Ini adalah talian persahabatan antara dua negara, Malaysia dan Korea Selatan.

Di StarCity, pelbagai ujian dijalankan termasuk pemeriksaan darah dan kepadatan tulang (bone density). Di angkasa lepas, pelbagai perubahan berlaku terhadap fisiologi tubuh termasuk kardiovaskular, otot dan tulang.

Manusia dicipta untuk hidup di bumi dan apabila manusia menjelajah angkasa lepas, pelbagai perubahan yang agak ekstrim berlaku. Dalam waktu yang singkat, iaitu pada hari ketiga di angkasa lepas, tulang manusia mula menampakkan kesan kerapuhan atau osteopenia. Bayangkan mereka yang tinggal di ISS selama enam bulan. Setakat ini, keputusan pemeriksaan terhadap tubuh saya kelihatan memuaskan. Tidak ada keputusan tidak normal. Syukur alhamdulillah. Ini semua adalah berkat doa rakyat Malaysia.

Apabila kembali ke Malaysia, suasana pilihan raya dapat dirasai. Setiap orang sibuk bercakap mengenai pilihan raya, baik di kedai kopi mahu pun pejabat.

Sejak awal lagi, saya berminat dalam bidang politik dan sering mengikuti perkembangan politik di tanah air walaupun berada di Russia. Namun belum terlintas untuk menceburi bidang politik secara aktif.

Orang sibuk berkempen mengenai pilihan raya, saya pula sibuk berkempen mengenai angkasa lepas. Kepuasan tidak terhingga pada diri ini tercapai apabila melihat senyuman pada anak kecil dan pelajar yang begitu bersemangat untuk menceburkan diri dalam bidang sains dan matematik.

Inilah matlamat dan tanggungjawab saya ketika ini. Tanggungjawab sepanjang hayat. Inilah janjiku untuk negara.

Permandangan dari angkasa

Soalan:

SEBAGAI pelajar sekolah menengah, saya ingin tahu mengenai beberapa perkara, iaitu adakah dari ISS, Dr dapat melihat galaksi di angkasa lepas seperti 'spiral galaxy', 'elliptical galaxy' dan `barred spiral galaxy'. Bagaimana pula cuaca sekitar ISS, adakah seperti bumi, ISS mendapat cahaya matahari?

Siti Aishah Anver,
Jelutong, Pulau Pinang.

Jawapan:

DI ISS kami dapat melihat bulan, bintang, bumi dan pelbagai pemandangan yang menakjubkan. Galaksi sungguh luas terbentang dan matahari naik dan turun setiap 45 minit. Saya tidak berapa pasti akan spiral galaksi atau elliptical galaksi yang dimaksudkan tetapi anda tidak dapat melihat akan galaksi itu kerana memerlukan peralatan teropong astronomi seperti yang ada di bumi.

Angkasawan tidak ada perasaan takut

Soalan:

APAKAH perasaan Dr ketika mendarat ke bumi. Gerun atau tiada perasaan takut sama sekali. Selain itu, apakah barang yang pertama sekali perlu diselamatkan ketika mendarat?

Siti Norsamsia Hassanudin,
Masai, Johor Bahru.

Jawapan:

KAMI diajar untuk tidak mempunyai sebarang perasaan takut. Apabila kembali ke bumi melalui ballistic reentry, fokus saya lebih kepada eksperimen yang berada dalam kapal soyuz kerana risau ia akan mengalami kerosakan. Saya sudah bekerjasama bersama saintis tempatan selama 2 tahun dan ketika itu sentiasa berdoa agar saintifik eksperimen itu tidak mengalami kerosakan.

Coretan Angkasawan: Panduan ibadah di ISS diiktiraf dunia Islam

Angkasawan negara bangga terbabit dalam usaha kembalikan keagungan Islam di mata dunia khususnya dalam sains dan astronomi.

PENJELAJAHAN angkasawan ke angkasa lepas bukan saja menarik minat rakyat Malaysia pada 10 Oktober 2007 malah membuka mata umat Islam di seluruh dunia. Walaupun saya adalah orang Islam yang ke-9 berada di angkasa lepas, amat penting bagi saya menekankan bahawa tanggungjawab sebagai umat Islam harus dilakukan tidak kira di mana kita berada sama ada di bumi atau angkasa lepas.

Persoalannya tiada siapa tahu bagaimana ibadah harus dilakukan sama ada berpuasa mahupun bersembahyang. Ini amat penting untuk menjadi panduan kepada bakal astronaut beragama Islam pada masa akan datang. Sekurang-kurangnya mereka boleh merujuk kepada panduan bagaimana ibadah dilakukan di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).

Hakikatnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertemu dengan ulama seluruh dunia sebelum menghasilkan satu garis panduan mengenai tanggungjawab umat Islam di angkasa lepas. Saya berasa bangga kerana dapat menerajui tanggungjawab ini dengan harapan mengembalikan keagungan Islam di mata dunia khususnya dalam sains dan astronomi. Saya berharap dapat memainkan peranan dalam menyatupadukan umat Islam seluruh dunia untuk mencapai kejayaan lebih gemilang.

Saya telah mendapat jemputan untuk berkongsi pengalaman khususnya dari negara Islam seperti Arab Saudi, selain beberapa negara lain termasuk Amerika Syarikat, Kazakhstan, Britain dan banyak lagi .

Di Amerika Syarikat, saya dijemput oleh Islamic Syurah Council, California pada 8 hingga 12 Mai 2008. Tujuan utama adalah penerimaan anugerah keamanan dari pihak terbabit atas sumbangan Islam dalam bidang sains dan angkasa lepas. Ia adalah satu pengiktirafan yang amat bermakna pada diri ini. Ia membuat saya untuk terus berjuang demi memartabatkan nama Islam ke arah sains dan teknologi.

Di samping itu, saya juga berkesempatan berjumpa dengan komuniti Islam di California, memberi ceramah di masjid di San Jose dan San Diego untuk berkongsi pengalaman dengan harapan untuk menyuntik inspirasi kepada mereka. Saya juga berkesempatan untuk memberi ceramah di California State Universiti kepada 1,000 pelajar yang mengikuti bidang "Islam and its contribution and direction". Amat mengasyikkan apabila lebih separuh daripada pelajar adalah bukan beragama Islam. Ini jelas menunjukkan minda pelajar Amerika Syarikat yang begitu berminat untuk mengikuti perkembangan Islam dengan lebih mendalam. Paling menyeronokkan apabila berpeluang berjumpa dengan kanak-kanak Islam yang begitu bersemangat bertanyakan mengenai kehidupan di angkasa lepas. Ramai di antara mereka yang bercita-cita untuk pergi ke angkasa lepas dan saya juga diajukan pelbagai soalan menarik.

Berjumpa dengan 250 rakyat Malaysia di California adalah pengalaman yang manis di mana kebanyakan daripada mereka adalah pelajar tajaan yang masih meneruskan pengajian mereka di sana. Saya diberi makanan ala Malaysia seperti kari ikan hingga ayam masak kurma. Saya berasa seolah-olah saya berada di negara sendiri.

Saya juga dijemput oleh pihak NASA untuk melawat Jet Propulsion Laboratory (JPL) di Pasadena di mana ia bertanggungjawab atas pelbagai satelit yang dilancarkan untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai planet. Saya juga didedahkan dengan pembikinan rovers Phoenix yang baru-baru ini telah membuat pendaratan di planet Marikh untuk mengetahui adakah ada kehidupan di planet itu. Amat mengagumkan apabila dapat mempelajari pelbagai teknologi canggih terkini yang dihasilkan oleh NASA.

Secara keseluruhan komuniti Islam di Amerika Syarikat khususnya di California terdiri daripada golongan minoriti pelbagai negara dan kebanyakannya golongan profesional. Islamic Shura Council mewakili komuniti Islam di Amerika Syarikat dan menjalankan pelbagai aktiviti kebajikan dalam membentuk perpaduan di kalangan umat Islam dan saya berasa amat berbangga kerana dapat menyumbangkan tenaga dan ilmu dengan harapan dapat menyemai kepentingan Islam khususnya kepada anak-anak Islam di Amerika Syarikat. Inilah janji saya apabila kembali ke bumi. Tidak ramai di kalangan Islam yang membabitkan diri dalam bidang aeroangkasa. Impian saya untuk mengumpul kesemua sembilan astronaut Islam yang menjelajahi angkasa lepas dan menjelajahi seluruh benua dalam memupuk semangat dan menukar minda umat Islam agar mengembalikan kembali keagungan dan kegemilangan Islam khususnya dalam bidang sains dan teknologi. Banyak lagi usaha yang harus dilakukan untuk mencapai matlamat ini.

Selepas benua Amerika saya juga telah berada di Brunei selama 3 hari dan berkongsi pengalaman bersama pelajar di negara itu. Sungguh menyeronokkan apabila melihat semangat yang ditunjukkan oleh anak kecil yang mempunyai impian tinggi untuk menerokai angkasa lepas. Impian mampu menjadi kenyataan sekiranya seseorang itu berusaha dengan gigih dan yakin dengan kemampuan sendiri dan sentiasa bersikap positif.

Kini saya berada di Sarawak melawat Bandar Miri dan Kuching untuk memberi ceramah kepada lebih 5,000 penduduk Sarawak. Saya bekerjasama dengan pustaka negeri Sarawak dalam memupuk sikap membaca di kalangan pelajar. "Knowledge is power". Kita seharusnya membaca sekurang-kurangnya sebuah buku setiap minggu. Amat penting untuk Malaysia dalam melahirkan modal insan yang berilmu dan berkualiti dalam mengejar impian Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Thursday, June 12, 2008

Misi ke angkasa lepas bukan melancong

SEREMBAN 11 Jun – Angkasawan negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha menjelaskan sekali lagi bahawa misinya ke angkasa lepas bukan untuk melancong sebaliknya melakukan uji kaji saintifik.
Menurut beliau, uji kaji yang dilakukan itu begitu penting untuk kegunaan perubatan terutamanya dalam merawat pesakit kanser.


‘‘ Saya ke sana untuk melakukan uji kaji di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS),” kata Sheikh Muszaphar kepada kira-kira 500 pelajar dalam program motivasi di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Haji Mohd. Redza di sini semalam.

Sheikh Muszaphar memberitahu, ketika di angkasa lepas, beliau sempat mencipta sajak dan puisi selain mengenakan pakaian batik.

‘‘Saya juga menjadi umat Islam pertama yang berpuasa dan menyambut Hari Raya di ISS.

‘‘Ini semuanya untuk negara dan Malaysia kini berada setanding dengan negara lain khususnya dalam bidang penerokaan angkasa lepas,” katanya.

Pada program motivasi itu, Sheikh Muszaphar terus menyuntik semangat kepada golongan pelajar agar mengikuti jejak langkahnya menjadi seorang angkasawan pada masa hadapan.

Kata beliau, adalah wajar golongan pelajar meletakkan azam tinggi serta belajar bersungguh-sungguh untuk terus mengisi peluang dalam Program Angkasawan Negara sekali gus mengembangkan minat terhadap aktiviti berkaitan aero angkasa.

‘‘Jika pelajar berminat menjadi seperti saya sebagai angkasawan, saya minta supaya pelajar rajin-rajin belajar dan paling penting kita perlu fokus dalam setiap aktiviti yang dilakukan,” katanya.

Sheikh Muszaphar juga berharap pada masa akan datang lebih ramai wanita terpilih menyertai program tersebut dan diberi peluang untuk menjadi angkasawan negara.

‘‘Saya berharap selepas ini akan ada angkasawan wanita yang berlepas ke ISS.

‘‘Saya juga berharap lebih ramai anak kelahiran Negeri Sembilan turut berjaya meneroka ke angkasa lepas,” tambahnya.

Angkasawan wants more women involved

SEREMBAN, 11/06/2008: Angkasawan Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha hopes more women will be given the opportunity to join the National Space Programme as many have shown keen interest in it.

He said there had been overwhelming interest in the field among women in Asian countries of late, and even South Korea had chosen a woman to complete a mission at the International Space Station (ISS).

"It is important to give them the opportunity to take part in the programme. I am sure they are capable.

"The field should not be confined to men as women are equally competent to complete a mission at the ISS," he said after delivering a motivational talk at Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Haji Mohd Redza here yesterday, which was attended by 500 students.

Muszaphar said based on his observation from visiting schools and universities nationwide, many students were keen in Science and Mathematics and wanted to be an astronaut.

"Students should aim high and study hard to gain entry into the National Space Programme.

"They should also take part in aerospace activities," he said.

Muszaphar expressed disappointment with certain quarters for painting a negative picture of the space programme saying that it was a waste of money and a "vacation" in space.

The mission to space, he said was to conduct important scientific research in medicine, specifically in cancer research.

"I would like to stress that the mission to space was not a vacation, instead there was extensive research being carried out at the ISS, and the experiences gained there should be shared with all Malaysians."