Thursday, June 12, 2008

Misi ke angkasa lepas bukan melancong

SEREMBAN 11 Jun – Angkasawan negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha menjelaskan sekali lagi bahawa misinya ke angkasa lepas bukan untuk melancong sebaliknya melakukan uji kaji saintifik.
Menurut beliau, uji kaji yang dilakukan itu begitu penting untuk kegunaan perubatan terutamanya dalam merawat pesakit kanser.


‘‘ Saya ke sana untuk melakukan uji kaji di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS),” kata Sheikh Muszaphar kepada kira-kira 500 pelajar dalam program motivasi di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Haji Mohd. Redza di sini semalam.

Sheikh Muszaphar memberitahu, ketika di angkasa lepas, beliau sempat mencipta sajak dan puisi selain mengenakan pakaian batik.

‘‘Saya juga menjadi umat Islam pertama yang berpuasa dan menyambut Hari Raya di ISS.

‘‘Ini semuanya untuk negara dan Malaysia kini berada setanding dengan negara lain khususnya dalam bidang penerokaan angkasa lepas,” katanya.

Pada program motivasi itu, Sheikh Muszaphar terus menyuntik semangat kepada golongan pelajar agar mengikuti jejak langkahnya menjadi seorang angkasawan pada masa hadapan.

Kata beliau, adalah wajar golongan pelajar meletakkan azam tinggi serta belajar bersungguh-sungguh untuk terus mengisi peluang dalam Program Angkasawan Negara sekali gus mengembangkan minat terhadap aktiviti berkaitan aero angkasa.

‘‘Jika pelajar berminat menjadi seperti saya sebagai angkasawan, saya minta supaya pelajar rajin-rajin belajar dan paling penting kita perlu fokus dalam setiap aktiviti yang dilakukan,” katanya.

Sheikh Muszaphar juga berharap pada masa akan datang lebih ramai wanita terpilih menyertai program tersebut dan diberi peluang untuk menjadi angkasawan negara.

‘‘Saya berharap selepas ini akan ada angkasawan wanita yang berlepas ke ISS.

‘‘Saya juga berharap lebih ramai anak kelahiran Negeri Sembilan turut berjaya meneroka ke angkasa lepas,” tambahnya.

No comments: