Angkasawan negara bangga terbabit dalam usaha kembalikan keagungan Islam di mata dunia khususnya dalam sains dan astronomi.
PENJELAJAHAN angkasawan ke angkasa lepas bukan saja menarik minat rakyat Malaysia pada 10 Oktober 2007 malah membuka mata umat Islam di seluruh dunia. Walaupun saya adalah orang Islam yang ke-9 berada di angkasa lepas, amat penting bagi saya menekankan bahawa tanggungjawab sebagai umat Islam harus dilakukan tidak kira di mana kita berada sama ada di bumi atau angkasa lepas.
Persoalannya tiada siapa tahu bagaimana ibadah harus dilakukan sama ada berpuasa mahupun bersembahyang. Ini amat penting untuk menjadi panduan kepada bakal astronaut beragama Islam pada masa akan datang. Sekurang-kurangnya mereka boleh merujuk kepada panduan bagaimana ibadah dilakukan di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).
Hakikatnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertemu dengan ulama seluruh dunia sebelum menghasilkan satu garis panduan mengenai tanggungjawab umat Islam di angkasa lepas. Saya berasa bangga kerana dapat menerajui tanggungjawab ini dengan harapan mengembalikan keagungan Islam di mata dunia khususnya dalam sains dan astronomi. Saya berharap dapat memainkan peranan dalam menyatupadukan umat Islam seluruh dunia untuk mencapai kejayaan lebih gemilang.
Saya telah mendapat jemputan untuk berkongsi pengalaman khususnya dari negara Islam seperti Arab Saudi, selain beberapa negara lain termasuk Amerika Syarikat, Kazakhstan, Britain dan banyak lagi .
Di Amerika Syarikat, saya dijemput oleh Islamic Syurah Council, California pada 8 hingga 12 Mai 2008. Tujuan utama adalah penerimaan anugerah keamanan dari pihak terbabit atas sumbangan Islam dalam bidang sains dan angkasa lepas. Ia adalah satu pengiktirafan yang amat bermakna pada diri ini. Ia membuat saya untuk terus berjuang demi memartabatkan nama Islam ke arah sains dan teknologi.
Di samping itu, saya juga berkesempatan berjumpa dengan komuniti Islam di California, memberi ceramah di masjid di San Jose dan San Diego untuk berkongsi pengalaman dengan harapan untuk menyuntik inspirasi kepada mereka. Saya juga berkesempatan untuk memberi ceramah di California State Universiti kepada 1,000 pelajar yang mengikuti bidang "Islam and its contribution and direction". Amat mengasyikkan apabila lebih separuh daripada pelajar adalah bukan beragama Islam. Ini jelas menunjukkan minda pelajar Amerika Syarikat yang begitu berminat untuk mengikuti perkembangan Islam dengan lebih mendalam. Paling menyeronokkan apabila berpeluang berjumpa dengan kanak-kanak Islam yang begitu bersemangat bertanyakan mengenai kehidupan di angkasa lepas. Ramai di antara mereka yang bercita-cita untuk pergi ke angkasa lepas dan saya juga diajukan pelbagai soalan menarik.
Berjumpa dengan 250 rakyat Malaysia di California adalah pengalaman yang manis di mana kebanyakan daripada mereka adalah pelajar tajaan yang masih meneruskan pengajian mereka di sana. Saya diberi makanan ala Malaysia seperti kari ikan hingga ayam masak kurma. Saya berasa seolah-olah saya berada di negara sendiri.
Saya juga dijemput oleh pihak NASA untuk melawat Jet Propulsion Laboratory (JPL) di Pasadena di mana ia bertanggungjawab atas pelbagai satelit yang dilancarkan untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai planet. Saya juga didedahkan dengan pembikinan rovers Phoenix yang baru-baru ini telah membuat pendaratan di planet Marikh untuk mengetahui adakah ada kehidupan di planet itu. Amat mengagumkan apabila dapat mempelajari pelbagai teknologi canggih terkini yang dihasilkan oleh NASA.
Secara keseluruhan komuniti Islam di Amerika Syarikat khususnya di California terdiri daripada golongan minoriti pelbagai negara dan kebanyakannya golongan profesional. Islamic Shura Council mewakili komuniti Islam di Amerika Syarikat dan menjalankan pelbagai aktiviti kebajikan dalam membentuk perpaduan di kalangan umat Islam dan saya berasa amat berbangga kerana dapat menyumbangkan tenaga dan ilmu dengan harapan dapat menyemai kepentingan Islam khususnya kepada anak-anak Islam di Amerika Syarikat. Inilah janji saya apabila kembali ke bumi. Tidak ramai di kalangan Islam yang membabitkan diri dalam bidang aeroangkasa. Impian saya untuk mengumpul kesemua sembilan astronaut Islam yang menjelajahi angkasa lepas dan menjelajahi seluruh benua dalam memupuk semangat dan menukar minda umat Islam agar mengembalikan kembali keagungan dan kegemilangan Islam khususnya dalam bidang sains dan teknologi. Banyak lagi usaha yang harus dilakukan untuk mencapai matlamat ini.
Selepas benua Amerika saya juga telah berada di Brunei selama 3 hari dan berkongsi pengalaman bersama pelajar di negara itu. Sungguh menyeronokkan apabila melihat semangat yang ditunjukkan oleh anak kecil yang mempunyai impian tinggi untuk menerokai angkasa lepas. Impian mampu menjadi kenyataan sekiranya seseorang itu berusaha dengan gigih dan yakin dengan kemampuan sendiri dan sentiasa bersikap positif.
Kini saya berada di Sarawak melawat Bandar Miri dan Kuching untuk memberi ceramah kepada lebih 5,000 penduduk Sarawak. Saya bekerjasama dengan pustaka negeri Sarawak dalam memupuk sikap membaca di kalangan pelajar. "Knowledge is power". Kita seharusnya membaca sekurang-kurangnya sebuah buku setiap minggu. Amat penting untuk Malaysia dalam melahirkan modal insan yang berilmu dan berkualiti dalam mengejar impian Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment