Monday, April 21, 2008

Coretan Angkasawan: Sibuk penuhi undangan sekolah, IPT

JADUAL saya kini dipenuhi dengan program motivasi berkongsi pengalaman bersama pelajar di seluruh Malaysia. Ia bukan saja membabitkan kanak-kanak, malah sekolah dan universiti tempatan. Setiap hari saya mendapat panggilan supaya hadir ke majlis mereka untuk berkongsi pengalaman sebagai angkasawan negara.

Tidak lupa juga stesen radio dan rangkaian televisyen yang tidak henti-henti mengundang untuk menghadiri program mereka.

Minggu lalu, saya melawat Sekolah Seri Puteri Cyberjaya , Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Universiti Tun Abdul Razak Kelana Jaya, Universiti Malaysia Pahang, UiTM Melaka, Sekolah Menengah Sains Raub, Sekolah Menengah St John dan Universiti Multimedia.

Kadangkala dua atau tiga sekolah dalam sehari. Saya tidak sampai hati untuk menghampakan harapan pelajar apabila dijemput ke sekolah mereka walaupun pada Sabtu atau Ahad.

Suatu kepuasan tercapai dalam diri ini apabila dapat melihat senyuman pada bibir mereka. Inilah yang dijanjikan buat negara Malaysia setelah kembali dari angkasa lepas.

Jadual saya kini padat hingga Julai. Tidak lupa pula janji saya untuk MARA dalam lawatan “angkasawan pulang ke gagang” dan saya akan bermula bertapak di utara melawat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pendang, Kepala Batas dan Taiping.

Banyak lagi sekolah yang masih belum diterokai, terutama di Sabah dan Sarawak. Saya berharap mereka dapat bersabar kerana saya pasti akan ke sana dalam masa terdekat ini. Cuma saya terkilan apabila sesetengah pihak sudah mendirikan kain rentang dan memberitahu, akan kehadiran angkasawan walaupun masih belum mendapat persetujuan daripada saya.


Saya menerima banyak emel dan surat mengatakan Dr Sheikh tidak datang seperti yang dijanjikan. Saya benar-benar berharap perkara ini tidak akan berulang kerana bersimpati kepada mereka yang datang dari jauh.

Apabila saya bermesra bersama pelajar, saya sering bertanyakan impian mereka dan ramai yang begitu bersemangat dan bercita-cita menjadi angkasawan. Saya sering menekankan bahawa anda tidak semestinya memilih angkasawan kerana peluang dalam bidang itu adalah terhad, tetapi boleh menjadi saintis, doktor dan jurutera angkasa lepas untuk membuat sumbangan dalam bidang angkasa lepas.

Penjelajahan saya ke angkasa lepas bukan saja membabitkan bidang sains, tetapi sastera dan Islam. Bagi bidang sastera, saya membawa baju batik, menulis sajak dan membuat lukisan untuk sumbangan kepada golongan seni.

Bagi umat Islam pula, cara berpuasa dan bersolat telah direkodkan dalam bentuk video untuk dikongsi bersama umat Islam seluruh dunia. Inilah kehebatan program angkasawan negara yang membabitkan setiap lapisan masyarakat.

Saya juga mengikuti perkembangan rakan karib, Yi Seo Yeon, wanita Korea Selatan yang pertama ke angkasa lepas. Beliau juga menjalani pelbagai eksperimen saintifik di ISS dan membawa makanan kegemaran Korea iaitu Kimchi dan akan tinggal di ISS selama 10 hari sebelum kembali bersama krew saya, Yuri Malanchenko dan Peggy Whitson.

Saya berharap Malaysia juga mampu menghantar wanita kita ke angkasa lepas pada masa akan datang. Ini sudah pastinya akan menjadi satu inspirasi kepada golongan wanita di Malaysia.

SOALAN:

Saya ingin tahu adakah Dr nampak arah ke Kaabah dari ISS. Boleh ceritakan pengalaman ketika pendaratan cemas?

Farah Husna

JAWAPAN


ISS berada 400 kilometer (km) dari bumi dan mengelilingi orbit dengan kelajuan 27,000 km/jam. Dari jendela ISS, kami dapat melihat lautan, gunung-ganang, sungai, pencemaran hutan dan lautan, tetapi mustahil untuk

melihat bangunan mahupun kenderaan kerana kedudukannya terlalu jauh.

Ada peralatan komputer di ISS yang menunjukkan tempat-tempat yang kami lalui dan saya

berkesempatan untuk melihat Pulau Pinang apabila melalui kawasan Malaysia. Negeri yang begitu indah

apabila dapat melihatnya dari jendela ISS.

Ada pelbagai sebab mengapa pendaratan cemas berlaku. Berat badan yang berbeza juga boleh menyebabkan ‘ballistic reentry’ . Setelah dikaji, masalah kabel adalah punca mengapa kami terbabas sejauh 450 km dari sasaran.



No comments: